Assalamualikum

Assalamualaikum ... Terima kasih kerana menghampiri

Apa yang tertera, sekadar gelonjak rasa, sesaujana pancaindera,
dari teman di sepanjang perjalanan ... dari bahasa alam yang pendiam
... helaian risalah fitrah kemanusiaan ... dan peta keislaman
Dijadikan bekalan, pedoman dan peringatan kerangka diri.

Semoga mampu diperpanjangkan ke segenap dimensi makhluk, ruang dan masa.
Amin Insyaallah.


sedih?



Perasaan sedih itu berupa sifat semulajadi yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia. Tanpa kesedihan maka hilanglah sebahagian nikmat dari Allah SWT. Setiap ciptaan Allah SWT itu berpasangan. Pasangan kesedihan adalah kegembiraan. Tanpa kesedihan kita tidak akan mampu menghargai atau kenal nikmat kegembiraan. Namun apa yang harus kita tahu ialah cara mana untuk menangani kesedihan tersebut agar ‘nikmat’ tidak menjadi mudarat. Janganlah sampai kita larut dalam kesedihan. Kita harus sedar bahawa kita hanyalah manusia biasa. Selagi kita bernama manusia, kita tidak mungkin dapat lari dari dihambat masalah yang membawa kesedihan. Oleh kerana kita tidak boleh bersembunyi dari serangan sedih, maka kita harus bersiap dan cari jalan untuk menanganinya. Kita harus berdepan dan memikirkan agar kesedihan itu agar tidak menjerat perasaan kita sendiri. Yang akhirnya kita terpenjara menjadi hamba dalam perasaan kita sendiri. Sedih tidak mungkin mampu menyeret diri kita kepada kebinasaan kalau diri kita sendiri yang tidak mengizinkannya. Kebanyakan kita akan merasa sedih dan murung apabila dirempuh dugaan, ada pula yang meronta-ronta dan berteriak atas musibah yang menimpa diri atau keluarganya. Namun tahukah anda bahawa kasih sayang Allah hadir di setiap episod kehidupan kita, suka maupun duka. Allah SWT telah merahmati manusia dengan Islam. Islam agama lengkap ada menunjukkan garis panduan kepada manusia sesuai dengan fitrah penciptaan manusia. Berikut adalah adits dari Abdullah bin Mas'udradliyallah 'anhu, Rasulullah SAW bersabda, "Tidaklah seseorang tertimpa kegundahan dan kesedihan lalu berdoa (dengan doa di bawah) . . . melainkan Allah akan menghilangkan kesedihan dan kegelisahannya serta menggantikannya dengan kegembiraan." Hadith ini telah didasarkan pada doa dibawah;


(Allaahumma innii 'abduka wabnu 'abdika wabnu amatik, naashiyatii biyadik, maadlin fiyya hukmuk, 'adlun fiyya qadlaa'uk, as-aluka bikullismin huwa laka, sammaita bihi nafsaka, au anzaltahuu fii kitaabika, au 'allamtahu ahadan min khalqika, awis ta'tsarta bihii fii 'ilmil ghaibi 'indaka, an taj'alal Qur'aana rabii'a qalbii wanuura shadrii wajalaa'a huzni wa dzahaaba hammii)
"Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, anak hamba laki-laki-Mu, dan anak hamba perempuan-Mu. Ubun-ubunku berada di tangan-Mu. Hukum-Mu berlaku pada diriku. Ketetapan-Mu adil atas diriku. Aku memohon kepada-Mu dengan segala nama yang menjadi milik-Mu, yang Engkau namakan diri-Mu dengannya, atau Engkau turunkan dalam Kitab-Mu, atau yang Engkau ajarkan kepada seorang dari makhluk-Mu, atau yang Engkau rahasiakan dalam ilmu ghaib yang ada di sisi-Mu, agar Engkau jadikan Al-Qur'an sebagai penyejuk hatiku, cahaya bagi dadaku dan pelipur kesedihanku serta pelenyap bagi kegelisahanku."
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri dan Abu Hurairahradhiyallahu ‘anhuma;

مَا يُصِيبُ الْمُسْلمَ مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حُزْنٍ وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلاَّ كَفَّرَ اللهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ
مَا يُصِيبُ الْمُسْلمَ مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حُزْنٍ وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلاَّ كَفَّرَ اللهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ


"Seorang muslim yang tertimpa kecelakaan, kemelaratan, kegundahan, kesedihan, 

sakit maupun duka cita sampai-sampai tertusuk duri, niscaya Allah akan menebus dosanya
dengan apa yang menimpa itu"
(Mutafaq 'alaih). 

Dengan kata lain rasa sedih dan bimbang itu berupa kafarah (penebus dosa). Dengan mengingat pahala dan mengharapkannya, maka kitaakan mendapatkan dua balasan, yaitu menghapus dosa dan tambahan kebaikan (sabar dan ridha terhadap musibah). Namun jika kita lupa (akan janji Allah Subhanahu wa Ta'ala) dan leka berhiba, maka akan sesaklah dada sekaligus menjadikan kita lupa terhadap janji pahala dari Allah SWT. Hadits Mu'awiyah radliyallah 'anhu, diriwayatkan oleh Ahmad 4/98, Al-Hakim 1/347, Rasulullah SAW sabda,

مَا مِنْ شَيْءٍ يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ فِي جَسَدِهِ يُؤْذِيهِ إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ عَنْهُ بِهِ مِنْ سَيِّئَاتِهِ


"Tidak ada sesuatu yang menimpa seorang mukmin pada tubuhnya sehingga 
membuatnya sakit kecuali Allah akan menghapuskan dosa-dosanya." 

Dan setiap dugaan yang didatangkan itu adalah setimpal dengan kemampuan kita yang menanggungnya kerana Allah SWT itu mahga adil dan tahu sejauh mana kemampuan hambanya. Maka tabah ... sabar dan redhalah dengan sepenuh kesyukuran. Bagaimana cara lagi untuk kita menambah pahala? belum tentu amalan 'soleh' yang kita amalkan selama hidup ini benar-benar barakah dan diterima Allah SWT. Lantas cara mana lagi untuk Allah SWT untuk memberi kita pahala secara percuma, agar timbangan pahala kita lebih berat daripada timbangan dosa. Salah satu caranya ialah dengan memberi kita dugaan, kesedihan, kerungsingan. Dan apabila kita redha dengan sepenuh kesyukuran dan sabar dalam iman. Itulah tiket itulah rahmat untuk kita. Hadis sahih yang telah diriwayatkan oleh Tirmidzi dan disepakati oleh Syaikh Nasirudin Al-Albani, Rasulullah SAW bersabda


"Sesungguhnya besarnya pahala itu tergantung pada besarnya ujian.
Dan sesungguhnya apabila Allah mencintai suatu kaum, maka Allah akan menguji mereka. Barangsiapa redha maka Allah akan meredhainya dan 
barang siapa murka maka Allah akan memurkainya."

Apalah sangat cubaan yang kita terima berbanding dugaan yang pernah diterima oleh Rasullulah SAW dalam menyebarkan Islam. Semuanya adalah ketetapan Allah SWT dan kita tertakluk di bawah keputusan dan pengadilanNya. Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim pula, Rasullulah bersabda;

"Ketetapan takdir-Nya adil dan baik bagi seorang muslim.
Jika dia mendapat kebaikan, bersyukur, dan itu baik baginya.
Sebaliknya, bila tertimpa keburukan (musibah atau bencana) dia bersabar,
dan itupun baik baginya. Semua perkara orang mukmin itu baik,
dan hal itu tidak dimiliki kecuali oleh ornag beriman"

Maka janganlah kita berduka seolah-olah Allah SWT membiarkan kita tanpa bantuannya. Apa lagi merungut-rungut seolah tidak puas hati dengan Allah SWT. Di dalam islam, selagi kita masih di dunia dan hidup. Tiada apa yang tertutup. Setiap ruang  ada peluang di setiap pintu ada kuncinya. Ketika kita terperangkap dengan kekecewaan, patah semangat, ketidakcukupan, dan kesedihan ada pintu keluarnya. Kunci untuk pintu itu ada dalam kemahuan ... ada dalam usaha. Ada dalam diri kita sendiri.
kunci kepada kekecewaan ialah Redha maka kita akan berasa lega dan bebas
kunci kepada usaha yang patah ialah Tawakal maka kita akan berasa kuat
kunci kepada ketidakcukupan dan kepuasan ialah Syukur maka kita akan berasa 'memadai'
kunci yang paling besar bagi semua pintu yang ada ialah DOA dan SABAR. Begitu juga ketika kita bersedih, Nabi Muhammad ada mengajarkan kita doa pelupus kesedihan.

Suatu ketika seorang sahabat sedang bersedih. Lantas Rasulullah SAW bertemu dan bertanya kepadanya : "Wahai sahabat, mengapa kamu bersedih?"
Lantas sahabat tadi menjawab : "Ya Rasulullah, aku bersedih kerana bebanan kehidupan yang terlalu berat di atas pundakku"
"Apa dia?" tanya Rasulullah semula.
"Hutang yang membelenggu diriku, dan kesedihan yang mengikat sanubariku"
Lantas baginda SAW bertanya, "Apakah kau ingin aku ajarkan satu doa, satu amalan, yang jika kau amalkannya nescaya segala kesedihan, segala kedukaanmu, akan diangkat oleh Allah SWT, akan dipulihkan, akan diganti dengan kegembiraan dan kebahagian?"
"Balaa ya Rasulullah. Sebutlah, apakah doa, apakah amalan itu ya Rasulullah?"
Lantas baginda mengajarkan sepotong doa. "Wahai sahabatku, jika kamu amalkan doa ini setiap pagi dan setiap petang, insya Allah sebanyak manapun hutangmu, akan dilunaskan Allah SWT; setebal manapun kedukaanmu, akan dilenyapkan oleh Allah SWT"

"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat sedih dan duka cita.Aku berlindung kepada-Mu ya Allah, dari sifat lemah dan malas.Dan aku berlindung kepada-Mu ya Allah, dari sifat penakut dan bakhil.Dan aku berlindung kepada-Mu ya Allah, daripada beban hutang dan paksaan orang lain"

Menerusi doa di atas, dapat dikenal pasti 8 (lapan) jenis punca sebenar kesedihan manusia, antaranya adalah;

al-ham, humum (kegelisahan)
manusia menjadi resah terhadap sesuatu yang belum berlaku. Contohnya pesalah yang masih dalam pembicaraan yang belum tentu hukuman yang bakal diterima. Maka dia tertanya-tanya dan menjadi gelisah membayangi apakah bentuk keputusan.

al-hazan (kekecewaan)
manusia menjadi sedih terhadap sesuatu yang telah berlaku. Contohnya pesalah yang telahpun dijatuhi hukuman dan berasa sedih atas hukuman tersebut.

al-'ajiz (lemah)
manusia yang sentiasa lemah akan sentiasa berfikiran negatif dan hanya rungsing mencari kesalahan orang lain untuk menutup kelemahannya. Maka dia akan terbelengu dengan kemarahan dan kekecewaan sahaja.

al-kasl (malas)
manusia yang terperangkap dengan sifat malas mmbuatkan dirinya tidak produktif dan hanya mengharap bantuan orang lain. Ini menjadikan dia tidak menonjol dan sering rasa tidak puas hati dan terpinggir.

al-jubn (takut)
manusia menjadi bimbang apabila dia takut untuk mengemukakan kebenaran, takut untuk mengemukakan yang Hak dan terpaksa berselindung dan berbohong. Perasaan ini bertentangan dengan fitrah manusia sendiri. Percanggahan ini akan menjadikan kita sedih secara tidak kita sedari.

al-bukhl (bakhil)
manusia yang terlalu terikat dengan keduniaan dan tidak mahu bersedekah akan merasakan dunia yang dikejarnya menjadi begitu sempit untuknya bernafas dan bergerak. Secara tidak sedar dia menjadi hamba kepada harta yang dikumpulnya sendiri, bimbang berkurangan, bimbang dicuri dan sebagainya.

gahalabatid-dain (hutang)
manusia yang digari hutang yang banyak boleh berpunca daripada penyakit mengikut nafsu dalam merialisasikan sesuatu yang diluar kemampuannya sendiri. Contohnya berhutang pada benda-benda yang tidak diperlukan dan sebagainya. Bimbang akan dituntut. Bimbang tidak dapat dilangsaikan dan sebagainya.

Oleh yang demikian kunci kepada semua penyakit dan punca di atas adalah menerusi kunci DOA yang telah diajarkan oleh junjungan mulia kita. Kita kenal pasti puncanya dan cubalah kita mengubah diri kita agar tidak dihinggapi penyakit kesedihan ini.

Berbalik kepada kesedihan yang berpunca daripada al-ham dan al-hazan  kerana kita terlalu mengharap dan mencari sesuatu yang bersifat keduniaan. Apakah yang lebih kita cari dalam hidup ini? Terlalu banyak kerana kemahuan tidak pernah ada hadnya dan kepuasan yang tidak pernah penuh. Ada yang mencari harta, ada yang mencari teman, kebendaan, keseronokan dan ada pula yang mencari perkara dan benda yang pelik-pelik. Apapun yang kita cari, kadangkala membawa kegelisahan dan keresahan di hati. Adakah kita mampu menemuinya? Dan kalau setelah kita temuinya adakah memadai? Dan adakah mampu kita pertahan dan simpan agar tidak hilang lesap setelah begitu payah kita mencarinya? Semua itu hanya akan merantai perasaan kita yang tiada kesudahannya. Fikirkanlah semula.

Apakah pencarian yang lebih besar dan lebih bermakna dan lebih hebat daripada mencari Tuhan? Yang sampai bila-bilapun tidak akan hilang atau berkurangan. Dalam pencarian Tuhan, ada yang mencari tuhan menerusi seni, maka mereka bersyair melukis. Ada yang mencari Tuhan dengan ke dalam diri jauh bersendiri memikirkan kebesaran Tuhan dan betapa kerdilnya diri. Ada pula yang mencari Tuhan dengan keluar jauh mengembara merentas lautan meredah hutan dan mendaki gunung mengamati nikmat anugerah kebesaran Tuhan dan menyebarluaskan kesaujanaan Islam. Alhamdulilah kita tidak sedikitpun akan dikurangkan apabila kita mencari Tuhan. Malah kita akan dilapangkan serta sentiasa berasa nikmat cukup apabila bertemu Khaliq. Tidak ada nikmat sehebat bertemu dengan Allah SWT. Alhamdulilah menerusi Islam yang disampaikan oleh baginda Rasulullah SAW kita dapat mengenal Tuhan kita.

Selain daripada itu apabila kita meletakan harapan yang terlalu tinggi, secara langsung akan timbul pula kebimbangan untuk gagal dalam pencarian tersebut. Ini semua berpunca apabila kita kurang yakin kepada Allah SWT dan kita hanya mengukur kejayaan atas daya usaha kita sendiri tanpa melihat kuasa Allah SWT sebagai penentu mutlak. Fahamilah bahawa keyakinan kita kepada Allah SWT, pencipta, Tuhan yang telah memberikan segala sesuatu kepada kita. Tuhan yang memungkinkan segala kemungkinan dan menciptakan semua keberadaan. Semua orang yang telah menemui Allah SWT adalah mereka yang tenang. Semua orang yang bertawakal setelah penat usaha mencari adalah orang yang lapang. Sebab itu mereka yang sentiasa ingat kepada Allah SWT, yang menyebut nama Allah SWT, akan lahirlah ketegangan di hati mereka. Hilang segala keresahan. Mereka tidak akan menyalahkan diri mereka sendiri setiap kali gagal kerana mereka sedar bahawa kudrat manusia memang penuh keterbatasan. manusia itu masih tertakluk dengan banyak lagi kemungkinan yang diluar kuasa kawalan mereka yang jauh lagi besar iaitu ketentuan qada' dan qadar Tuhan. Usaha sebesar manapun namun kejayaannya masih lagi terletak dibawah perkenan Tuhan. Kita harus selalu ingat bahawa Allah SWT yang memberikan rezeki, Allah SWT yang mengurniakan kadar rezeki untuk seseorang. Oleh itu jika kita telah berusaha namun masih gagal maka hendaklah kita sabar dan redha. Soal rezeki bukan urusan kita. Bukankah Nabi mengajar kita untuk husnuddzon kepada Allah SWT. Berbaik sangka kepada Allah SWT. Bahawa Allah SWT memberikan kita rezeki yang banyak. Hanya tugas kita berusaha untuk mencari rezeki tersebut. Yakinlah pada rezeki Tuhan kerana dengan keyakinan mampu menghilangkan kegelisahan dan kesedihan.

Jika kita gagal memperoleh maka kita bersedih. Jika kita berjaya memperoleh juga kita akan bersedih kerana timbulnya perasaan takut hilang. Maka ada orang yang takut hilang harta, hilang anak, hilang suami. Kehilangan yang mendukacitakan memungkinkn hilang punca dan hilang kesemuanya. Janganlah bersedih selagi kita tidak kehilangan tali Allah SWT. Bertautlah kepada Allah SWT yang tidak akan hilang dan akan sentiasa ada kekal selamanya. Dan sedarlah bahawa setiap apa yang dikurniakan Allah SWT kepada kita itu hanyalah sementara. Semua seisi dunia ini adalah sementara. Allah SWT beri, Allah SWT tarik semula. Allah SWT beri harta dan Allah SWT juga menariknya kembali. Bukankah itu adat peminjam? Kita menumpang di dunia dan kita pinjam jasad dan nyawa. Dan jika kita katakan bahawa kita adalah pemegang amanah Allah, maka sifat orang yang memegang amanah ialah pada suatu masa dia terpaksa memulangkannya semula amanah tersebut kepada Tuan punya. Sedarlah bahawa hidup kita, mati kita, semua yang kita katakan menjadi milik kita sebenarnya adalah milik Allah SWT. Walaupun darah yang masih mengalir dalam tubuh kita ini juga milik Allah SWT. Maka mengapa kita masih mahu angkuh dan bersedih bila kehilangan. Walaupun kita sudah mampu mencipta cecair setanding darah sekalipun, kita masih lagi menggunakan 'aqal' pemberian Allah SWT. Insaflah bahawa mata yang melihat ini bukan milik kita. Suatu masa nanti ia akan kabur dan hilang begitu sahaja. Telinga yang mendengar, mulut yang bertutur, tangan yang bergerak, tubuh yang bertenaga, kaki yang melangkah - kesemuanya pinjaman. Sampai bila? Hanya Allah SWT yang mengetahui. Oleh yang demikian apabila kita kehilangan sesuatu yang dipinjamkan atau nikmat yang diberikan, janganlah kita bersedih. Ada orang yang kehilangan anak maka dia bersedih. Mengapa mesti bersedih sampai memudharatkan diri? Sekiranya dia yakin bahawa anak itu milik Allah SWT, maka sudah tiba masanya untuk dia mengambilnya.

Sepertimana kebenaran janjinya. Kita sendiri akan lenyap dan hilang dari muka bumi ini. Itu semua bukan masalah. Oleh yang demikian usah kita terlalu menangisi kehilangan. Sekiranya kita timbang tara semula - banyak mana yang Allah SWT ambil, dibandingkan dengan banyak mana yang telah Allah SWT berikan kepada kita. Suara, pendengaran, penglihatan, kemewahan, kasih sayang, penghormatan dan rumput yang mengalas kasut, awan yang memayung matahari, angin yang membawakan debunga untuk pembiakan dan semua sistem kehidupan yang tersusun rapi di sekeliling kita. Apa lagi yang kurang? Masih mahu lebih lagi? Sedangkan semua itu hanyalah pemberian dan bukan hak milik kekal. Dan apabila musibah menimpa, Allah SWT menarik balik sedikit sahaja dari kurnia-Nya, mengapa kita berduka? Mengeluh dan menyalahkan semua? Bukankah itu petanda bahawa Allah mungkin mengantikannya dengan sesuatu yang lebih baik? Allah tarik sesuatu untuk Allah SWT berikan sesuatu yang lain?  Berlapang dadalah kepada Allah SWT kerana Allah SWT berkuasa menentukan segalanya pada bila-bila masa dan hanya Allah yang tahu apa yang terbaik untuk hambanya. Yakinlah kepada Allah SWT kerana Allah SWT amat menyayangi hambanya, terutama hambanya yang sabar, redha, dan bersyukur atas apa yang telah diberikan kepadanya. Yakinlah.

Ketahuilah selama mana kita hidup kita akan berdepan dengan masalah. Kita berbuat baik kita akan diduga dengan masalah. Kita berbuat jahat kita diduga dengan masalah. Nabi yang sesempurna manusia kerana kebaikannya juga diduga dengan masalah yang jauh lagi besar dan hebat. Maknanya dugaan itu tetap ada selama mana kita di dunia. Maka lebih beruntung menjadi baik dalam dugaan daripada jahat yang bukan hanya diduga tetapi juga terhina. Dan lazimnya masalah ini akan mengundang kesedihan. Itulah manusia yang bernyawa berperasaan dan berakal. Bukankah kehidupan di dunia ini penuh ujian. Kita bukan lagi tinggal di syurga yang semuanya datang dengan sendiri tanpa dicari. Di dunia kita harus rancang dan usaha. Kita bertanggung jawab sepenuhnya atas diri kita sendiri dan kita buat pemilihan. Di dunia walaupun makanan telah terhidang di depan. Jika kita lapar kita harus menggerakkan tangan untuk menyuap makanan itu ke dalam mulut. tanpa usaha, tanpa akal, tanpa kemahuan pasti makanan itu tidak mampu mengenyangkan perut kita. walau bagaimana lazatpun hidangan itu, perut kita akan terus menanggung masalah lapar. Begitu juga dengan masalah duniawi yang lain. Masalah keluarga masalah kesihatan masalah persekitaran. Semuanya membuatkan kita bersedih. Mengapa kita harus berhiba dan terus berduka? Bukankah kehidupan ini berupa sebuah perjuangan. Kita tidak hanya dilengkapkkan dengan kecukupan sifat fizikal tetapi juga dibekalkan aqal dan ISLAM yang menyuluh dan menunjuk sesuai fitrah manusia.

Masalah itu akan tetap ada dan masalah yang paling besar kepada kita adalah hasutan Iblis. Itulah masalah sebenar yang harus kita teliti dan bukannya masalah picisan lainnya. Apakah ada masalah yang lebih besar di dunia ini selain daripada berdepan hasutan iblis? Syaitan sentiasa mengajak kita ke jalan jauh menyimpang dari Allah. Itulah masalah sebenar yang selalu diperingatkan di dalam Al Quran. Musuh jelas manusia. Maka mujahadatun-nafs melawan nafsu, melawan bisikan syaitan adalah asas kepada perjuangan jihad manusia. Masalah picisan seperti masalah anak isteri dan sebagainya juga berupa jihad jika kita mampu menanganinya. Dan setiap jihad itu pahala ganjarannya. Dengan masalah seumpama ini hanya akan menjadikan kita lebih bersedia dan berilmu selain meningkatkan keimanan kita dengan bersabar. Apabila kita sudah tegal lagi biasa, maka kita akan menjadi lebih tenang dalam menghadapi permasalahan mendatang. Bukankah dugaan itu juga berupa rahmat untuk menjadikan kita lebih matang sekaligus mengangkat kita ke tahap yang lebih tinggi. Yakinlah dengan sebarang masalah yang diserahkan Allah itu ada hikmahnya. Kita sekadar berusaha dan tuhan penentunya.

Selain daripada masalah, kita juga mungkin berasa sedih akibat tangungan dosa dan rasa bersalah yang bersarang di jiwa dan mencengkam fikiran kita. Akhirnya kita kemurungan kerana kita tidak tahu berbuat apa. Selaku manusia, kita tidak pernah lekang daripada melakukan kesalahan. Kita hanya manusia biasa dan tiada siapapun 'sempurna' kecuali Allah SWT. Janganlah bermurung apalah nak dibandingkan perasaan bersalah dan berdosa kita pada seisi dunia dengan dosa kita kepada Tuhan pencipta dunia? Yang mana harus kita utamakan? Dunia atau pencipta dunia? Tentunya Allah SWT harus diutamakan. Bukankah Allah SWT itu maha pengasih dan pengampun? Jadi mengapa harus kita bersedih kerana rasa bersalah terhadap ciptaan Allah SWT sedangkan Allah SWT yang yang menciptakan dunia yang kita sedihkan itu sendiri maha pengampun dan penerima taubat. Berlapang dadalah kepada Allah SWT. Ya mungkin kita berbuat silap dan berdosa, dan Allah SWT sentiasa menanti kehadiran kita untuk menerima taubat.

Kembalikanlah segala keresahan dan kesedihan itu kepada Allah SWT. Mengadulah kepada dia, dan lepaskan segala yang terbekam di hati kepada Nya. Kelak kita akan berasa tenang lapang dan lega. Terlepas semua yang terpikul di minda dan sarat di dada. Dosa itu sebenarnya berupa sebuah bebanan dan bertaubatlah agar bebanan itu terlepas. Percaya dan yakinlah bahawa kesedihan akan hilang apabila kita telah memohon ampun kepada Allah SWT. Semua bebanan dunia akan terasa ringan. Namun apa yang sekarang ini harus kita risau dan sedihkan ialah apakah kita mampu kekal dalam melakukan kebajikan. Kekal dalam mendapat keredhaan dan kekal dalam keimanan terhadap Tuhan penciptaan segenap alam. Tanpa iman di manakah kita di sisi Allah SWT. Kita datang dari Allah SWT dan kita pasti akan kembali kepada Allah SWT. kita pasti akan diuji. Kita pasti akan mati dan kita pasti akan diadili. Selamanya kita akan sendiri dan menjawab setiap soalan yang diamanahkan. Apakah persiapan kita sekarang ini telah memadai? Dunia yang sementara ini medan ujian yang menentukan ke mana arah kita nanti di alam yang tanpa batasan waktu. Sekian lama kita terlalu mengejar dunia yang sementara, namun berapa detikkan kita peruntukan sebagai bekalan untuk di alam yang jauh SELAMANYA. hanya kerana ia belum sampai dan dapat dibuktikan maka tidak bermakna alam akhirat itu lama lagi atau tidak terwujud. Dimanakah nasib kita bila kita berdiri sendiri-sendiri?

Bangkit dan persiapkanlah diri. Jangan kita terus berhiba dan memperpanjangkan kesedihan. Memang kesedihan itu fitrah manusia, namun jangan kita terlalu terbawa pada kesedihan yang sementara dan bersifat dunia semata. Kesedihan yang berlarutan tidak akan  membawa kita ke mana-mana selain kehancuran. Behiba tidak penting dan tidak perlu selain melengah kita untuk mengingat kebesaran Tuhan. Ketahuilah bahawa setiap musibah yang datang itu berupa nikmat yang didatangkan kepada kita setimpal dengan kemampuan kita sebagai ujian di dunia. Dengan adanya ujian kita tahu tahap mana kekuatan kita. Kita mampu ukur pengalaman kita dan kita beroleh banyak alternatif baru dalam kehidupan kita. Tanpa ujian kita mungkin terlalu selesa dan masih duduk di takuk yang lama. Pastikan kita mampu menangani masalah dan kesedihan dengan pengkaedahan yang diredha. Tidak pernah mengeluh atau menyalahkan takdir.

Kembalilah kepada Allah SWT dengan minda dan hati yang terbuka. Cuba kita lihat lebih jauh di sebalik masalah yang dihadapkan. Angkatlah tangan dan berdoa dengan sepenuhnya kerendahan meminta petunjuk meminta diringankan meminta kebaikan. Itu lebih bermakna daripada merintih hiba seolah kita telah kehilangan segalanya. Kita masih ada Tuhan. Dan Allah SWT maha pengasih maha mendengar. Kita masih ada Allah SWT.

Rujukan:
1. 
Dr. Badrul Amin Bahron : Jangan Bersedih - zikir munajat & tazkirah 
2. Badrul Tamam : Doa Tatkala Dirundung Gundah, Sedih, & Perasaan Tak Menentu
3. Nayif bin Mamduh bin Abdul Aziz Ali Sa'ud : Buku 166 Kiat Menggap Surga 


Catatan :
Ulasan ini saya nukilkan untuk peringatan diri sendiri pada bahan yang pernah saya temu dan pengalaman yang pernah saya lalu sebagai panduan sepanjang perjalanan. Tulisan ini saya perpanjangkan demi kebajikan dan kesejahteraan bersama, semoga kita semua memperoleh keberkatan dan kebajikan bersama. Amin